Pages

Saturday, September 26, 2009

Nasi Lemak Sambal Sotong

Salam buat semua. Entah kenapa nama makanan menjadi pilihanku untuk menghiasi tajuk entri aku kali ini. Mungkin 'mood' aidilfitri masih lagi bersemangat dalam diriku untuk ku titipkan menjadi nukilan entri aku. Hmm..sudah seminggu kita menyambut aidilfitri, ku harapkan semoga aidilfitri kali ini membawa seribu erti buat kalian. Aku? padaku aidifitri kali tambah istimewa tatkala aku dapat berjumpa dengan sahabat-sahabat lama serta guru kelasku ketika di bangku sekolah rendah, Pn. Siti Rodziah. Alangkah gembiranya hatiku tatkala dapat berjumpa beliau dan bertanya khabar akan dirinya. Walaupun kulihat dia semakin kurus, mungkin dek kesibukan menjaga anak-anak atau mungkin kesibukan mendidik anak bangsa membuat beliau agak susut. Namun, beliau langsung tidak menampakkan kesuraman atau kemuraman, beliau tambah ceria dengan kehadiran kami, anak-anak didik beliau. Gembira. Dapat berjumpa dengan kami. Sangat besar jasa beliau. Beliau lah yang pertama mendidik kami dari awal. Kalau tidak kerana jasa beliau, masakan kami boleh berjaya seperti sekarang. Kerana didikan dari awal beliau telah membuka jalan pada kami untuk membina diri masing-masing.


Setiba di rumah beliau, jam baru menunjukkan jam 5.00 petang. Saat kami memberi salam, beliau terus menyambut kami dengan senyuman yang pernah beliau ukirkan ketika menjadi guru kelas kami. Sangat manis & ikhlas. Nasi lemak sambal sotong merupakan santapan yang disediakan oleh cikgu. Pedas tetapi kepedasan itu dapat dilupakan dek keramahan cikgu melayan kami. Walaupun sudah lebih 10 tahun tidak bersua, namun cikgu tidak pernah melayan kami seperti orang asing. Malahan beliau melayan kami sepertimana kami 10 tahun lalu semasa beliau menjadi guru kelas kami. Walaupun gembira berjumpa, sedih tetap menyelubungi kerana tidak semua rakan sekelas kami hadir. Semua sudah berkerjaya. Aku terbayang, bila lagi dapat kami berjumpa lagi, kerana sekiranya kami semua sudah sibuk, mana mungkin akan ada masa kami untuk bertemu lagi. Namun aku berdoa, semoga cikgu sentiasa dirahmati dan dimurahkan rezeki...Amiin..Wassalam.

0 comments: