Pages

Saturday, March 15, 2008

Malaysia: From My Perspective

Aku memandang KLCC, Menara Kuala Lumpur dan pelbagai lagi mercu tanda yang dibanggakan rakyat negara ini. Aku memandang semua itu dan aku berfikir, "sudahkah kita layak untuk menjadikan negara ini negara maju?"; "adakah dengan memiliki mercu tanda itu sudah membuatkan kita layak untuk menggelar diri kita rakyat dalam negara yang maju?". Aku berfikir dan terus berfikir.

Apakah yang dimaksudkan dengan maju itu? Mempunyai bangunan tinggi itu maju? Mempunyai litar lumba F1 itu maju? Mempunyai kilang arak terbesar di Asia itu maju? Atau mempunyai bilangan masalah sosial dan rasuah itu maju?

Kita mungkin boleh berbangga dengan kemajuan yang kita capai secara material, tetapi kita masih lagi mundur dan lesu dari segi kemajuan rohani dan jatidiri kita. Bagaimana dengan anak-anak bangsa kita yang bangga dengan budaya yang datang dari luar, dengan gaya 'punk', 'skinhead' sanggup melemparkan budaya murni masyarakat timur dan sanggup bertopengkan budaya barat yang langsung lari dari norma kehidupan kita di Malaysia. Kita menganggap perkara ini sesuatu yang remeh. Tetapi tanpa kita sedari, kerana perkara remeh inilah, rakyat kita akan tumbang, langsung membawa bersama negara jatuh terus ke lembah kehancuran.

Kita terlalu mementingkan kebendaan, pemikiran rakyat Malaysia lebih menjurus ke arah kebendaan. Pemikiran yang tidak terbuka, tertutup rapat dek kerana sistem pendidikan kita yang lebih mementingkan 'output' ke atas kertas jawapan peperiksaan tanpa memberikan 'input' untuk anak-anak kita berfikir mengenai realiti dunia mereka. Terus mereka alpa dengan salah dan benar, yang penting bagi mereka adalah, mereka ingin 'enjoy', 'muda hanya sekali', itulah motto dan slogan yang sering diomokkan.

Lantas, bagaimana kita harus berbangga dengan kemajuan yang kita capai? Jikalau kemajuan itu hanya menguntungkan negara tetapi tidak ke atas rakyat. Fikir-fikirkan.

Sunday, March 9, 2008

DEMOKRASI: Akhirnya Rakyat Bersuara

Pilihanraya Umum ke 12 yang baru saja melabuhkan tirainya telah mencatatkan sejarah baru dalam dunia politik Malaysia. Terdapat banyak kejutan yang dapat kita lihat pada PRU ke 12 kali ini. Setelah lama memendam rasa, akhirnya rakyat menyuarakan rasa hati mereka. Ini dapat dilihat pada keputusan pilihanraya baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini memenangi banyak kerusi di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU yang lepas, kini tergamam dengan kejutan yang diberikan oleh rakyat pada mereka. Satu per satu kerusi yang mereka menangi pada PRU yang lepas kini jatuh ke tangan pembangkang. Tambah mengejutkan, 5 negeri di semenanjung iaitu Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang & Kelantan kini milik pembangkang. Untuk Kelantan, parti PAS terutamanya telah memenangi 100% kerusi DUN di Kelantan. Kelantan tidak tergugat dengan pelbagai serangan yang dilakukan BN untuk menawan negeri itu. Tetapi yang tambah manis, kejayaan pembangkang di 4 buah negeri membuktikan rakyat telah matang dalam membuat pilihan. Rakyat tidak lagi bodoh dan mudah diperkotak-katik kan lagi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab.

Tambahan lagi, BN tidak lagi memperolehi 2/3 majoriti di parlimen. Ini menunjukkan tidak akan pihak yang digelar kerajaan mahu pun pembangkang di parlimen. Kerusi-kerusi parlimen kini telah diisi dengan tokoh-tokoh yang mampu bersuara untuk rakyat. Kebajikan rakyat akan terjamin apabila tokoh-tokoh ini menduduki sebahagian besar kerusi parlimen. Penganalisis politik menyifatkan keputusan mengejutkan pada PRU ke 12 ini adalah kesan daripada penyampaian informasi yang disampaikan pada rakyat. Mereka menyifatkan rakyat sekarang sudah pandai mencari medium alternatif untuk mencari informasi dan maklumat mengenai sesuatu isu. Mereka tidak lagi hanya bergantung pada saluran-saluran perdana sahaja, tetapi sudah bijak menilai sesuatu dari pelbagai aspek.

Terlalu banyak pengajaran yang harus dipelajari oleh BN daripada PRU ke 12 ini. Salah satu darinya adalah, mereka harus menerima suara rakyat bukan menolak apa yang diperkatakan oleh rakyat. Rakyat bukannya seperti bola yang boleh disepak-sepak sesuka hati, tetapi rakyat adalah raja yang akan membuat keputusan. Keputusan adalah di tangan rakyat. Rakyat sudah matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara. Diharapkan PRU ke 12 kali ini akan memberi anjakan baru dalam keadaan politik di Malaysia. Ditambah dengan ramai muka-muka baru dalam parlimen mahu pun DUN, diharapkan ini dapat memberi satu perisa baru dalam corak pemerintahan di Malaysia. Insya Allah. Takbir!!!