Pages

Wednesday, April 29, 2009

Kembara Jiwa & Perspektif

Salam buat semua, perumpamaan ada mengatakan, jauh perjalanan, luas pemandangan, jadi apa yang akan dipaparkan pada hari ini adalah mengenai perjalananku dari Ipoh ke Taiping pada minggu yang lalu. Sepanjang perjalanan ini, telah membuka kaca mata aku akan realiti sebenar masyarakat Malaysia, dari segi kehidupan sosial mereka. Untuk lebih khusus lagi, kehidupan sosial masyarakat Melayu di Malaysia. Ada yang negatif dan positif, ada pro dan kontranya, tapi inilah realitinya.

Perjalananku bermula ke Kuala Sepetang, tujuannya sekadar mahu melihat kesan dari PRK yang lalu. Yela, sengaja mahu melihat tempat bersejarah di mana dengan keadaan polititk Perak yang masih lagi dalam kebingungan, kita melihat bagaimana rakyat telah meluahkan rasa hati mereka pada PRK yang lalu. Agak ironi di situ, mereka sanggup membawa ramai pemimpin yang boleh dikatakan 'hardcore' untuk memancing undi rakyat, tetapi, rakyat telah menunjukkan perasaan sebenar mereka. Itulah politik, terlalu banyak gelombangnya.

Lupakan isu politik-politik ni, perjalananku diteruskan pula ke Taiping, bandar Taiping yang suatu ketika dahulu pernah menjadi Ibu Negeri Perak, memang makin membangun. Tambahan pula Taiping ini terkenal dengan Taman Tasiknya, kebetulan ketika lalu di situ, terdapat festival yang sedang berlangsung. Seperti sedia maklum, Taiping adalah kawasan tadahan hujan yang paling tinggi kerana terdapatnya kawasan bukit di situ. Ketika singgah di Bandar Taiping, aku terkesima dengan apa yang aku lihat. Ingin sekali aku memetik artikel dalam Perlembagaan Negara dan juga kata-kata 'lecturer' aku, dalam Perlembagaan Negara, seseorang Melayu itu adalah yang beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, tetapi, apa yang aku saksikan ketika itu, sekumpulan remaja Melayu, dengan fesyen yang pelbagai, berambut perang, bersubang, bertindik di bibir dan macam-macam lagi gaya yang tidak menyerupai seorang Melayu. Aku berfikir sejenak, kita, khususnya bangsa Melayu selalu membangkitkan isu kebangsaan, hak-hak Melayu, tetapi, kita sendiri, tidak menepati ciri-ciri seorang Melayu, jadi, layakkah kita untuk menuntut hak-hak orang Melayu sedangkan ada anatara kita tidak menepati ciri-ciri tersebut? Ini bukan untuk menimbulkan kontroveri atau provokasi, tetapi sekadar mengajak kita semua untuk berfikir sejenak.

Lokasi terakhir adalah Pasar Minggu Changkat Jering, di sini perspektif aku beralih dari keji dan benci kepada bangga dan syukur. Di sini majoriti yang berniaga adalah kaum Bumiputera dan yang paling buat aku bangga adalah terdapat anak kecil yang membantu keluarga mereka berniaga. Tidak seperti sekumpulan anak remaja yang aku lihat di Bandar Taiping, mereka ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan, mengganggu anak-anak gadis tanpa segan silu, sekurang-kurangnya, anak-anak kecil di Pasar Minggu Changkat Jering ini, mereka ada hala tuju dan makna dalam hidup mereka.

Kesimpulannya, perjalananku pada hari tersebut benar-benar membuka kaca mata aku dan perspektif mengenai realiti kehidupan sosial masyarakat Malaysia kini. Siapa yang patut disalahkan dalam masalah ini? Keluarga?Diri sendiri?Sistem pndidikan?..Sama-sama kita fikirkan..

Tuesday, April 14, 2009

Bila Aku "down"

Salam buat semua, sejuk pendingin udara yg membelai pipi ku tapi tak bisa menenangkan hatiku yg bergelojak lantaran terkena tempias final ku hadapi tadi. Aku cuba juga menguatkan semangatku dgn berkata, "aku sudah lakukan yg terbaik!", tapi ungkapan itu mudah jua dihakis dengan perasaan gementar yang tak henti-henti kunjung tiba dalam perasaan aku. Hmm, aku cuba juga utk menerima apa yg berlaku pada diriku pada hari ini, namun itu jua tidak mampu menangkis bisikan syaitan yang membuat pendirianku goyah. Jadi apa aku buat bila aku "down" begini?..sudah pasti aku cuba meluahkan dalam bentuk naratif yang ku ukirkan pada lembaran siber ini. Bukan untuk menagih simpati atau menonjolkan kelemahan diri, tapi sekadar bingkisan sebuah realiti kehidupan yang mengingatkan aku serta kamu yang sedang membaca warkah diri ini, yang hidup ini tak semestinya indah belaka. Kadang-kadang kita harus sedar yang kita mungkin akan terpaksa jatuh ke bawah, bukan untuk melemahkan diri kita, tetapi sebagai kekuatan untuk kita bangkit semula selepas itu.
Aku terus melakar lembaran ini, hmm..apa lagi harus ku bingkiskan untuk tatapan kamu semua, mungkin aku kadang-kadang alpa dengan tanggungjawab aku yang harus membina diri aku dan menghalang diri ini dari melakukan sebarang dosa. Hmm..aku seorang manusia yang tidak pernah terlepas dari melakukan dosa-dosa. Ya Allah, pada Mu aku memohon keampunan dan kekuatan. Tidak ada tempat lain aku dapat mengadu selain pada Mu Ya Allah....