Pages

Wednesday, May 13, 2009

Berikan Mereka Harapan
















Salam buat semua, entri kali ini memaparkan sedikit informasi mengenai program yang aku kendalikan bersama-sama adik-adik ini. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu 9.5.2009 (tarikh harijadi aku), di Akademi Krana di Seri Manjung, Perak. Jikalau dirujuk kembali pada entri aku yang lepas, blog aku kali ini lebih terarah untuk membicarakan isu-isu remaja masa kini, jadi program yang aku kendalikan ini sedikit sebanyak sebagai bakti yang aku boleh curahkan untuk sama-sama membentuk generasi muda yang berguna kepada negara. Yalah, melihat kepada situasi negara yang agak kacau-bilau dengan isu-isu politik semasa yang tidak sudah-sudah, apa akan jadi pada generasi muda kita? Jadi mereka ini perlu dibimbing dan ditunjuk jalan untuk mereka menempuhi liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba ini.

Program ini terbahagi kepada 2 sesi, sesi pagi untuk adik-adik darjah 4, 5 & 6, fokus yang diberikan untuk sesi pertama ini adalah lebih untuk mengajak mereka seronok untuk belajar. Umpama pepatah, "melentur buluh, biarlah dari rebung", jadi untuk mengaplikasikan pepatah itu, adik-adik ini telah diajar untuk mengubah cara mereka belajar dan memupuk pemikiran yang kreatif. Maksud di sini adalah supaya mereka berdaya kreatif dalam cara mereka belajar, mungkin dari segi menyediakan nota dan cara memberi perhatian dalam kelas. Mereka telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk sesi LDK. Mereka telah diberi tugasan untuk mencipta 'Pulau Impian'. Objektif LDK ini adalah untuk memupuk kerjasama antara mereka dan memupuk daya kreatif adik-adik ini.

Sesi kedua pula telah dijalankan pada sebelah petang dan khusus untuk adik-adik tingkatan 1 & 2. Fokus yang ditekankan pada sesi kali ini adalah mengenai matlamat hidup, membina keyakinan diri serta menyatakan kepada mereka yang kejayaan itu akan datang dari kegagalan dan kegigihan. Sebenarnya, kita perlu menghadapi kegagalan sebelum kita boleh memperoleh kejayaan, kerana dari kegagalan itu buatkan kita bangkit serta berusaha memperbaiki diri. Aku ingin berikan satu kisah mengenai seorang tua yang bangkit daripada kegagalan dan kini telah membentuk legasinya sendiri. Kisah ini mengenai seorang pesara tentera yang tidak mahu bergantung kepada wang pencennya. Lalu beliau telah mencipta satu resipi ayam dan dijaja ke kedai-kedai. Tetapi, dari kesemua kedai yang beliau pergi, satu pun tidak berminat dengan resipi ayam yang dicipta itu. Pada mereka, resipi itu semua boleh buat. Tetapi orang tua ini tidak putus asa, beliau terus mencuba untuk menjaja reipi ayam beliau, akhirnya pada kedai yang ke 1000, resipi ayam beliau telah diterima, dan kini resipi itu telah terkenal ke seluruh dunia. Itulah legasi yang telah dibawa oleh Colonel Sanders, pengasas KFC. Itulah contoh orang yang tidak pernah putus asa dengan kegagalan, dan hasilnya, resipi beliau telah berjaya memikat seantero dunia. Jadi, bagaimana seorang tua boleh mempunyai semangat yang begitu tinggi, inikan kita generasi muda yang masih mempunyai semangat yang kental, sudah seharusnya, lebih lagi. Sesi kali ini, diakhiri dengan LDK 'Menara Impian'. Mereka dikehendaki untuk membina menara menggunakan straw, suratkhabar dan soletep. Objektifnya adalah untuk memupuk sikap untuk berjaya walau apa pun cabaran yang mendatang.
Kesimpulannya, program ini bukan setakat memberi manfaat kepada adik-adik ini, tetapi, memberi aku sedikit sebanyak perkara baru dan pengalaman baru. Kita kena sentiasa ingat, kita lahir di dunia ini menjadi Khalifah di muka bumi dan da'ie, rebutlah peluang yang telah diberikan untuk manfaat sejagat.

0 comments: