Pages

Monday, December 15, 2008

Minyak oh Minyak!

Pemuda A : Alhamdulillah, turun lagi harga minyak sekarang, taklah beban sangat,

Pemuda B : Itulah, dulu bukan main lagi mengata, kata tak adillah, menindaslah, sekarang, siapa yang tak sedar diri?

Pemuda A : Engkau ni kenapa?, apa kaitan dengan mengata pula ni?, kau jangan mula cari pasal.

Pemuda B : Sekarang ni, semua dah jelas, mana yang intan dan mana yang kaca, jadi, buka sikit mata tu.

Pemuda A : Yang intan pun, kalau jatuh pecah juga, tak semestinya yang kaca akan terus kekal kaca, mungkin akan jadi bernilai juga nanti.

Pemuda B : Tak payah le berangan nak jadi kaca yang bernilai, sekarang nie, ada duit, semua boleh jadi.

Pemuda A : Itulah masalahnya dengan orang yang ada intan, sikit-sikit duit, rasuah, kroni, mana duit tak hilang.

Pemuda B : Mane ade semua tue, fitnah semuanya.

Pemuda A : Kalau takde angin, takkan pokok bergoyang oi!

Pemuda B : Itulah masalahnya, suka sangat buat cerita-cerita yang macam ni.

Tiba-tiba lalu seorang miskin, serentak mereka berkata,

Pemuda A & B : Kesiannye orang tue.

Apabila sudah berlalu orang miskin tersebut, mereka terus menyambung pergaduhan.

ATAN vs ALI

Sebuah warung kopi tersergam indah di pinggir Kampung Pisang. Macam biasa, warung tersebut akan dipenuhi ramai pengunjung tiap kali petang tiba. Dah nama pun warung, kopi sudah menjadi menu rasmi setiap pengunjung, tapi berlainan pula kisahnya dengan 2 orang pemuda yang aku nak ceritakan ini. Atan, seorang pemuda jati kampung, sedari kecil hingga berumur 27 tahun, beliau masih kekal di kampung tersebut. Pekerjaannya hanya bercucuk tanam, tetapi beliau tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukannya. Apa yang lainnya pemuda ini, beliau tidak akan memesan secawan kopi, tetapi segelas air susu yang dicampur madu, bagi yang terbiasa dengan kopi, menganggap Atan seorang yang pelik kerana dia melawan arus. Tetapi Atan tidak mempedulikan orang-orang yang menanggap dia pelik. Dia tahu apa yang dia buat.
Sedang leka menikmati minumannya, sebuah kereta BMW 5series berhenti berhampiran warung kopi tersebut. Saat pintu kereta dibuka, susuk tubuh seorang pemuda keluar dari kereta tersebut. Dia adalah Ali, seorang pemuda kampung yang bekerja di kota masuk ke warung tersebut. Dia duduk berhadapan dengan Ali. "Kau tengok Atan, aku dah pakai BMW sekarang, kau?", sindir Ali. Atan hanya mendiamkan diri sahaja. Ali tidak puas hati, dia mesti memprovok Atan. Dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk membuat Atan bersuara. "Atan, kau rugi tak ikut aku pergi K.L., kat sane kau hanya tipu orang je dah kaya." Atan masih bersabar dengan provokasi Ali, dia tahu, Ali hanya ingin cari pasal dengannya. "Kenapa kau bodoh sangat?, kau masih nak duduk di bawah Pak Kasim sahaja?, kau takkan dapat apa-apa."
"Ali, sekurang-kurangnya hidup aku tenteram dan bahagia." Atan memulakan mukadimah bicaranya. "Aku tak perlu korbankan prinsip hidup aku semata-mata mengejar kekayaan." Ali tidak puas hati, hatinya mula panas dengan hujah balas Atan. "Kau tengok kampung ni, apa yang ada, nak kekal tradisional konon, Pak Kasim tu kolot tau tak, aku nak kampung kita ni ada banyak kemajuan..", belum sempat Ali menghabiskan kata-katanya, Atan memotong,"tetapi kemajuan yang kau kejar tu, menghancurkan jatidiri pemuda kampung ni, kau nak rosakkan kampung kita ni." Sebenarnya, Ali dan Atan adalah 2 sahabat yang menjadi nadi kepimpinan kampung ini, walaupun ideologi mereka berbeza, mereka tidak pernah menjadikan itu penghalang kepada persahabatan mereka. Tetapi, semua itu musnah apabila pilhanraya berlangsung di kampung tersebut. Ali, yang mudah goyah dengan kekayaan, layu dek godaan kesenangan. Ini tidak disukai Atan sama sekali. Maka persahabatan mereka putus kerana itu.
"Aku tidak mahu mengorbankan prinsip hidup aku semata-mata kekayaan, aku tak peduli aku terus bergelumang dengan peluh, daki, janji, perjuangan aku jelas!", Atan mula meninggikan suaranya menyatakan ketegasannya. Ali masih tidak puas hati, "Apa kau dapat Atan?, dapat ke kau merasa naik kereta besar? ada duit banyak? ade pengaruh?", "Semua itu tak kekal Ali." balas Atan ringkas.
Ali merasa seperti ditampar dengan jawapan itu, lantas beliau terus masuk ke keretanya dan menderu laju dari situ. Atan hanya menggelengkan kepalanya, beliau tidak lagi dapat menyelamatkan sahabatnya. Ali sudah hanyut dengan kemewahan dan kemegahan yang dicapai melalui penyelewengan dan penipuan. Atan amat sedih dengan keadaan itu, dia hanya mampu berdoa semoga Ali kembali ke pangkal jalan. Melihat hari yang semakin sen ja, Atan segera meninggalkan warung tersebut. Beliau mengayuh basikal untuk pulang membelah kegelapan senja itu.

Sunday, December 14, 2008

Duniaku Sana Sini

Duniaku yang kini semakin tua,
Sudah banyak terluka sini sana,
Entah bila akan hadir sembuhnya,
Atau luka ini akan kekal selamanya,
Entah aku pun tidak tahu,
Mungkin kerana manusia ikut nafsu,
Hingga membuat keputusan terburu-buru,
Atau mungkin hati mereka sudah jadi batu,
Ada ingin manusia sama akan haknya,
Ada pula yang ingin kukuhkan kuasanya,
Tak kurang juga yang buta hatinya,
Asal penuh duit di sakunya,
Manusia memang begitu sifatnya,
Tidak pernah puas akan nikmatnya,
Tak henti nak puaskan hatinya,
Biar tergadai maruah dirinya,
Ada juga yang suka mengkritik sahaja,
Semua benda tak kena,
Ini tak boleh itu tak kena,
Kerana baginya semua berhak bersuara,
Duniaku sini sana,
Memang sudah binasa,
Dek perlakuan manusia celaka,
Yang hanya pentingkan dirinya.
Izzi
10.19pm
Ipoh

Berkawan Biar Seribu..

Kawan, sahabat, friends dan bermacam lagi terma yang digunakan untuk menggambarkan erti sebuah persahabatan. Walau apa pun perkataan yang digunakan, nilai sebuah persahabatan itu tidak dapat dinilai dengan emas mahupun wang ringgit. Betapa bernilainya sebuah persahabatan itu. Panjang pula mukadimah yang aku ungkapkan dalam luahan kali ini. Mesti ramai tertanya apa kaitan isu yang aku cuba bangkitkan dengan gambar di atas kan? Sebenarnya gambar ini dirakamkan ketika aku dan sahabat-sahabat aku ini menghadiri majlis perkahwinan rakan sekelas ketika sekolah rendah dahulu. Kawan yang dah lama tidak kutemui, boleh dianggarkan 10 tahun terputus hubungan sejak tamat darjah 6. Jadi, bila dapat kutemui semula sahabat-sahabatku ini, alangkah gembiranya perasaan.
Nilai sebuah persahabatan itu seperti yang aku katakan, amat tinggi nilainya. Tanpa sahabat akan tiada ukhuwwah dan tanpa ukhuwwah, akan tiada perpaduan dan tanpa perpaduan, akan pincanglah sesebuah negara. Jadi, nilai persahabatan itu amat tinggi nilainya. Ini dapat dilihat sejak zaman kegemilangan Islam lagi, bagaimana ukhuwwah yang terjalin di kalangan umat Islam terdahulu telah membina sebuah empayar Islam yang gemilang dan dicemburui oleh barat. Tapi sayang, dewasa ini, nilai persahabatan sudah tiada nilai di kalangan masyarakat kita. Masing-masing lebih suka memikirkan hal masing-masing, bak kata orang, 'nafsi-nafsi'. Kawan sesama kawan 'tikam' kawan sendiri demi kepentingan sendiri. Betapa nilai persahabatan itu sudah tidak dihargai lagi.
Hargailah nilai persahabatan yang telah terbina ini. Janganlah disia-siakan nilai persahabatan itu. Ingat, berkawan biar seribu...

Berkawan Biar Seribu..

Monday, November 17, 2008

Perjalananku Masih Jauh

Pejam celik..pejam celik, aku sudah hampir ke penghujung perjuanganku di UIAM. Kejap aku rasakan, bagai aku tidak sedar betapa pantas masa itu berlalu. Aku rasakan bagaikan baru semalam aku melangkah masuk untuk tahun pertama aku di UIAM, tapi sekarang aku sudah berada di tahun terakhir perjuanganku.

Begitu banyak perkara yang aku saksikan sepanjang hidupku di sini. Ada yang gembira, lucu, sedih, takut, kagum dan sebagainya. Itulah yang akan menjadikan ku seorang yang matang apabila masuk ke dalam masyarakat nanti. Bak kata orang, 'pengalaman mendewasakan kita', itu kata orang, sejauh mana kebenarannya, aku masih belum dapat memastikannya lagi. Tapi yang penting, aku harap apa yang aku dapat sepanjang perjuanganku di sini, dapat menjadi panduan ku di luar nanti.

Aku berharap..aku akan menjadi diriku sendiri.

Friday, October 10, 2008

My Memorable Raya

First sekali, inginku ucapkan Selamat Hari Raya kepada sesiapa yang membaca blog ini, maaf dipohon sekiranya ada salah dan silap atau terlanjur perkataan sebelum ini. So, let's get to business. Em..tahun nie raya aku adalah raya yang tak mungkin aku lupakan. Bukan nak kata raya yg lepas2 tak best, cumanya, raya kali ini begitu berbeza sekali. Banyak perkara berlaku sepanjang ramadhan dan raya aku tahun ini.

Dimulakan kisah, raya kali ini aku sambut dengan 'teman istimewa' atau 'my love'..hehe..aku rasa macam dah kahwin plak..huhu..tapi yang pasti..aku punya 'teman istimewa' yang menceriakan hari raya aku kali ini. Manakan tidak, tidak pernah aku temui insan seistimewa seperti dirinya. Yang begitu mengambil berat akan diriku, yang sanggup bersusah payah untuk diriku, yang terlalu menyayangi diriku. Aku rasa bersyukur ke Hadrat Illahi kerana mempertemukan aku dengan dirinya. Aku yakin inilah jodoh buat diriku yang akan kekal sampai bila-bila. Really love her sooo much..=)


Tapi, setiap kegembiraan pasti ada kesedihan. Satu tragedi yang meninggalkan kesan kepada diriku sampai sekarang, perginya seorang sahabatku mengadap yang Maha Esa. Tragedi yang berlaku beberapa hari sebelum raya dan malam sebelum aku pulang ke kampung. Tepat jam 4.30 pagi aku mendapat berita yang mengatakan arwah sudah tiada lagi. Aku begitu sedih kerana aku begitu rapat dengannya serta pernah bersama satu kelas. Bila aku mendenagar akan berita tersebut, aku sungguh terkejut dan sedih. Ini membuatkan diriku insaf dan sedar bahawa kematian itu pasti akan datang tanpa kita ketahui. Tanpa mengira waktu, umur atau sakit. Jika sudah sampai masa, tidak akan lewat walau sesaat pun, kematian itu akan menjemput kita. Al- Fatihah buat arwah...


Em..hidup mesti diteruskan juga..jadi pada hari raya, aku berjaya mengadakan 'gathering' mengumpulkna kembali raka-rakan sekolah rendahku. Masing-masing sudah lama tak bertemu. Masing-masing sudah berjaya dengan dunia sendiri. Ada yang bakal kahwin, ada yang sudah habis belajar dan ada yang sudah bekerja. Rindu sungguh diriku pada mereka. Rakan-rakan sama ketawa ketika sekolah dulu, nakal pun sama-sama..hehe..tapi yang pasti mereka adalah sahabatku dunia dan akhirat.

Begitulah kisahnya raya aku tahun ini. Berbeza dari yang lepas-lepas. Semua perasaan bercampur, gembira, sedih, bahagia, semua ada. Yang pasti, ia mendewasakan diriku untuk menjadi insan yang berguna untuk masa depan.